Khamis, 9 Disember 2010

CVT di media

Menggali Rahsia Alam


Oleh Dr Norhisham Wahab
Sejak kecil saya sangat mesra dengan kehidupan alam semulajadi. Suasana dan kitaran alam sering membuatkan saya berfikir tentang alam secara fizik dan metafizik. Pelbagai persoalan menerjah dalam kotak fikiran saya - kenapa gerhana bulan berlaku, mengapa langit bertukar tatkala senja, mengapa angin bertiup, bagaimanakah berlakunya perubahan cuaca, dan sebagainya.
Persoalan-persoalan ini menyebabkan saya suka menyendiri, mengelamun, dan tidak banyak bercakap. Saya banyak menghabiskan masa berfikir. Saya kerahkan otak untuk mencari jawapan punca berlakunya segala fenomena alam itu. Siapakah yang menggerakkannya, apakah kaitannya dengan hidupan lain. Namun dalam usia muda dan pengalaman yang begitu cetek, akal saya tidak dapat menjangkau rahsianya.
Pada tahun 1970, ketika saya berumur 10 tahun saya mula mendekati alam mistik. Ayah menjadi seorang bomoh setelah meninggalkan jawatan kerajaan. Saya mula mengetahui tentang mandi bunga, penggunaan tanah liat, beras kunyit, sirih dan sebagainya. Saya sering mengikuti ayah ke hutan mencari bahan-bahan untuk mengubat orang sakit. Satu hari ketika mengikutinya ke hutan saya lihat ayah mencabut sebatang akar yang kelihatan yang amat sukar untuk dikeluarkan dari dalam tanah. Saya hairan bagaimana ayah boleh mencabutnya dengan begitu mudah sekali. Saya berkata kuatnya tenaga ayah. Ayah cuma menjawab, "Ayah guna tenaga keyakinan." Katanya lagi, apabila ada keyakinan mencabut akar sebesar itu ibarat menarik batang taugeh sahaja. Daripada situlah saya belajar erti keyakinan tanpa keraguan.
Saya membesar sebagai seorang pemerhati. Pekerjaan ayah sebagai bomoh melatih saya meneroka perkara yang pelik-pelik. Pesakit datang berjumpa ayah dengan bermacam-macam penyakit. Ada yang sakit jantung, kanser, kencing manis, serta yang mengalami masalah mental dan halusinasi. Saya hairan bagaimana ayah merawat hanya dengan mengibas pesakit dengan kain. Kini saya telah tahu jawapannya. Setiap penyakit berkait dengan tahap psikologi. Kibasan kain itu memotong aliran stress dalam badan seseorang.
Saya bukan sahaja mengkaji benda-benda pelik, malahan saya sendiri dikatakan orang pelik juga. Hal ini disedari ketika berumur 12 tahun. Saya pernah terjatuh daripada bangunan setinggi 3 tinggkat. Dengan kuasa Allah Taala, tidak ada apa-apa yang berlaku terhadap diri saya. Saya berada dalam keadaan sedar ketika badan saya melayang kebumi. Saya juga pernah terlibat dalam satu kemalang yang dahsyat. Mereka yang terlibat mengalami cedera parah dan ada yang meninggal dunia. Tetapi, Alhamdulillah saya tidak mengalami apa-apa kecederaan. Semasa kemalangan itu berlaku, saya berada dalam kedaan penuh sedar. Saya boleh ingat satu-persatu setiap yang berlaku sehinggalah berlakunya kemalangan itu.
Deria saya terlalu sensitif dan sering diuji. Tidur saya selalu didatangi mimpi-mimpi yang kemudiannya cuba saya tafsirkan sendiri. Saya dapatkan rasakan, jika sebelum tidur saya tidak mandi atau sekurang-kurangnya membasuh kaki, alamatnya saya akan bermimpi sesuatu yang ngeri seperti jatuh ke dalam gaung. Kadang-kadang saya boleh nampak dan dengar apa yang orang lain tidak boleh. Sebab itulah orang tua kata saya ganjil.
Beralih kepada pendidikan, saya mendapat pendidikan awal di Kuala Lumpur, tempat kelahiran saya sendiri. Ketika masuk ke tingkatan satu, saya bersekolah di Sekolah Menengah Aminuddin Baki. Sebaik tamat tingkatan enam, saya ke Eropah dan bekerja di sebuah syarikat yang banyak membuat kajian dalam bidang elektromagnetik. Saya kira inilah langkah terbaik saya kerana saya benar-benar ingin tahu tentang kuasa alam semulajadi terhadap kehidupan, khususnya manusia. Saya bekerja sambil belajar di syarikat itu. Selama lapan tahun saya berusaha menyiapkan tesis tentang frekuensi bunyi yang membentuk getaran untuk mengimbangi sel dalam badan. Pada tahun 1994, saya ke Sri Lanka mengambil Ph.D di Open International University dalam bidang ini.
Dari kecil sampai besar, saya banyak menimba ilmu secara tidak formal. Setelah dewasa jawapan kepada pencarian saya terserlah jelas apabila saya temui ilmu yang saya gali selama ini sebenarnya sudah ada dalam Al-Quran dan Hadis. Kedua-dua sumber ini banyak membantu dan memberi jawapan kepada persoalan yang berlegar-legar dalam fikiran saya tentang rahsia alam. Begitu juga dengan keterangan-keterangan dalam Hadis seperti khasiat Habbatus Sauda yang dikatakan berupaya menyembuhkan pelbagai jenis penyakit kerana khasiatnya yang banyak.
Bagi saya, ilmu yang saya miliki ini merupakan anugerah Allah. Saya sering mengaitkanya dengan agama. Mengikut kajian orang yang tidak banyak bercakap dan lebih banyak diam adalah lebih baik kerana ini menstabilkan emosi. Hal ini sememangnya dianjurkan dalam agama Islam. Oleh itu, saya menasihatkan remaja sekelian agar memanfaatkan kelebihan yang ada pada diri kita semaksima mungkin dan gunakan kelebihan yang ada itu untuk mendekatkan diri kepada Tuhan.

Berita Minggu, Ruangan Perspektif Perubatan
KAEDAH RAWATAN PENYAKIT CARA CVT 

Oleh Dr Norhisham Wahab
Tubuh manusia adalah sebagai kesatuan, bukan kumpulan atau bahagian yang terpisah-pisah. Jika ada tenaga yang terganggu, tubuh akan mengambil langkah bersepadu untuk melindungi dan mengembalikan keseimbangan secara homeostasis.
Daya vital atau tenaga hayat tubuh sentiasa bersatu tetapi jika berlaku kejatuhan atau kenaikan secara mendadak dan berterusan, tenaga itu tetap tidak dapat bertahan dan berlaku pelbagai gejala penyakit.
Keupayaan tenaga dalam bentuk semangat menjadikan manusia mampu bertahan dan terus hidup manakala tahap pemikiran sering tergugat dan kita harus memujuknya dengan akal atau kekuatan mental yang waras.
Bagaimanapun, terapi getaran warna (Colour Vibration Therapy – CVT) percaya tenaga vital yang mempunyai keupayaan penyembuhan sendiri terletak pada tahap emosi atau iman.
Jika penyakit dapat mengimbangi empat tahap kesatuan emosi iaitu sabar, tenang, ikhlas dan syukur maka tahap ketahanan tubuh terhadap serangan kuman atau ketidakseimbangan hormon dapat diselaraskan dan itulah rasional rahsia penyembuhan.
Tindakbalas sebenar dipandang sebagai cara tubuh mengeluarkan atau menghambat sesuatu penyakit. Jika tahap emosi terus dipendam, penyakit akan terus menekan dan terjadi penderitaan kesakitan kepada tubuh.

Penyakit dan gejala spesifik
Sebagai contoh, masalah darah, ada pesakit yang menghadapi gejala kebas, sengal, sakit belikat, sakit pada tengkuk, sakit dalam kepala, terhoyong-hayang, mengantuk pada siang hari, sukar bernafas, berdebar-debar, gemuruh, sakit urat dan mudah terseliuh.
Pengalaman berbeza ini harus ditangani dengan bijaksana bagi menentukan getaran tenaga yang tepat dan sesuai. CVT menganggap proses penyembuhan memerlukan suatu tenaga yang paling lembut dan minimum.
Diagnosis
Semua gejala perlu disemak dan disusun untuk menjadi gambaran gejala keseluruhan. Gejala aneh atau luar biasa lebih memerlukan keseimbangan tahap kerohanian.
Contohnya, pesakit yang berasa sesuatu keganjilan di dalam perut atau di mana-mana bahagian seperti bergerak-gerak, mencengkam, panas mendidih, menghimpit dan lain-lain yang berlaku tidak tetap dan berulang-ulang maka getaran tenaga yang perlu diambil adalah lebih khusus atau spesifik. Atas alasan inilah satu bentuk tenaga yang unik akan memenuhi segala kehendak bagi semua perkara luarbiasa itu.
Getaran Umum – Bagi gejala yang lebih umum seperti sukar tidur, kurang selera makan, lesu, sesak nafas,demam, aturan haid tidak stabil dan sakit sendi, frekuensi tenaga boleh disesuaikan mengikut gejala yang diterima.
Tidak Sembuh – Jika proses penyembuhan masih tidak berjalan lancar manakala tenaga dalaman atau spiritual, emosi dan mental masih membelenggu ikatan tenaga yang tidak dapat diuraikan.
Kesan Getaran Tenaga Ke arah Penyembuhan – Jika ada perubahan , ini bermakna getaran sedang menjalankan fungsi dan penyakit boleh dikurangkan. Jika perubahan agak berat maka pengambilan getaran tenaga boleh ditukar kepata getaran tenaga tunggal khas yang lain.
CVT menilai perubahan sesuatu penyakit daripada satu perubahan ke satu perubahan lain yang berterusan. Penyakit asal akan terus hilang tanpa melalui cara mekanikal untuk membuang atau menukarnya. Ini bermakna perkembangan pesakit amat perlu diikuti sehingga kejayaan dapat dicapai.
Bagaimanapun, bagi konsep luaran getaran tenaga, semakin kuat gejala, bertambah kerap penggunaan diperlukan seperti mandi yang lebih lama.Penggunaan air batu dalam kaedah ini amat berkesan bagi meneutralkan gelombang yang sudah bocor dan terkeluar dari tubuh dalaman itu .
Penyembuhan
Pergerakan getaran tenaga pasti akan menggerakkan juga tenaga organ yang besar peranannya iaitu paru-paru. Aktiviti pernafasan ini amat penting. Seminit kita tidak bernafas, jantung akan berhenti fungsinya dan semua organ lain akan turut terhenti. Selepas itu tenaga akan bergerak ke arah bahagian organ yang kurang penting seperti kulit, tenggorok atau anak tekak yang terasa mendapat kesan akhir.
Kesan pertama jika paru-paru mendapat reaksi seperti batuk, ubat kimia boleh digunakan dengan berkesan tanpa kesan sampingan. Alasannya ialah kerana keracunan itu berada di luar sistem sel, ini tidak membahayakan sistem dalaman sel yang terbabit. Bagaimanapun jika pesakit hanya mendapat reaksi gangguan kulit seperti jerawat atau gatal-gatal, ini hanya dianggap sebagai gangguan akut yang kecil dan pesakit bernasib baik kerana penyakit yang dialami selama ini tidak berada ditahap serius.
Racun dapat dikeluarkan dari tubuh dalam bentuk kotoran seperti nanah, hingus, pedih mata, jerawat dan cirit-birit. Pergerakan itu berlaku dari tahap atasan ke tahap bawahan.Misalnya, gangguan kulit akan bergerak ke bawah dan akhirnya akan hilang.
Kemunculan akhir penyakit akan berada pada tahap atasan dan kehilangannya akan dirasai pada tahap bawah kerana penyakit bermula dari tahap bawah.
Dalam proses penyembuhan, sebarang penderitaan akan berulang untuk sementara waktu dan apabila berlaku proses itu kita menganjurkan supaya pesakit tidak berhenti atau mengulangi getaran tenaga bagi frekuensi yang dideritai sehingga semua penyakit dapat dihambat keluar dan tidak terpendam atau tersembunyi untuk menjadi kanser pada suatu masa nanti.
CVT mengambil langkah bijak dan rasional dengan penuh kesedaran bahawa cara perubatan moden perlu berjalan seiring sebagai pelengkap. CVT dengan konsep luaran dalam situasi darurat atau mencemaskan boleh digunakan sebagai pertolongan pertama. Konsep luaran yang mudah dapat menangani pesakit yang tidak sedar atau tidak mampu untuk menyerap getaran tenaga ke dalam tubuh melalui proses pemakanan.
Getaran tenaga akan menjadi keperluan pertama di dalam rumah untuk rawatan kemalangan atau kecelakaan. Penggunaan getaran tenaga tidak semestinya perlu mendapatkan diagnosis daripada pengamal profesional kerana ia mempunyai fungsi pelbagai guna yang selamat untuk sesiapa saja.
Kesedihan dan kekecewaan yang lama akan merangsang asid di dalam perut dan kita harus menghindari kekecewaan daripada menguasi diri. Jika tidak, ia akan mengundang penyakit lain ke dalam tubuh.

Berita Minggu, Ruangan Perspektif Perubatan
MEMULIH GANGGUAN DALAM BADAN

Oleh Dr Norhisham Wahab
Setiap keluhan penyakit menunjukkan ketidakseimbangan tenaga di dalam diri manusia dan persekitarannya. Untuk penyembuhan bererti ketepatan diperlukan bagi mencari sasaran kawasan yang mengalami ketidaksembangan atau ketidakselarasan tenaga dan perlu digantikan dengan frekuensi tenaga sebenar.
Kekuatan formula Terapi Getaran Warna (CVT) berupaya meniru, merakam, menyerap dan memerangkap semula frekuensi tenaga persekitaran atau unsur kehidupan ke dalam bentuk getaran cahaya pada kadar dosis yang amat rendah, kecil dan halus sehingga boleh mencapai dan menyamai frekuensi tenaga dalam pecahan-pecahan zarah yang berkitar didalam tubuh manusia.
Kekuatan tenaga yang sebenarnya terletak pada kelajuan frekuensi sehingga tiada bandingan ukuran. Inilah yang memegang dan menguasai tahap atasan atau bahagian kerohanian seperti spiritual, emosi dan mental. Sebenarnya perkara meniru, menyerap, merakam dan memerangkap gelombang tenaga cahaya adalah perkara yang sukar diterima akal.
CVT percaya jika ubat masih mempunyai kandungan kimia, ia pasti akan meninggalkan kesan sampingan bagi setiap unsur. Kimia yang menyerap kimia akhirnya bertukar menjadi racun.
CVT memegang prinsip, tubuh manusia adalah kesatuan tenaga yang mempunyai keajaiban dalam suatu kuasa ghaib yang amat sukar diukur, dilihat, dirasa tetapi mempunyai ukuran tersendiri.
CVT mempunyai teknik mengenalpasti latar belakang pesakit dengan melihat kepada aspek keseluruhan seperti,
  • Tahap psikologi dan personaliti.
  • Pola hidup.
  • Pola tidur.
  • Persekitaran dan kedudukan rumah.
  • Pengalaman atau kejutan lama.
  • Kemalangan lama yang dilupakan.
  • Faktor cuaca.
  • Ransangan tenaga berlebihan.
  • Keluhan dan tekanan berterusan.
  • Jenis rawatan lama dan terdahulu.
  • Corak dan masa kesakitan.
  • Suhu tubuh di bahagian luar dan dalam.
  • Amalan pemakanan.
  • Alahan atau amat sensitif.
  • Cara buang air besar atau kecil.
  • Gejala atau kesan.
  • Keturunan.
  • Hubungan seksual suami isteri.
  • Warna, rumah dan bilik tidur.
CVT menganggap kuasa atau tenaga rawatan disifatkan sebagai anggota tubuh pada setiap organ itu sendiri. Contohnya, jika hati yang rosak atau sakit, maka hati itu akan bertindak sebagai jentera canggih yang akan merawat sel di dalam tubuhnya. Organ lain yang berkaitan perlu diberi ransangan serentak agar ia dapat berfungsi. Dalam hal ini rawatan itu sendiri harus menyeluruh.
'Penyakit yang dikatakan racun itulah juga penawarnya’. Untuk menjadikan racun sebagai penawar maka dosisnya perlu diperkecilkan untuk mewujudkan getarannya saja. Menutup atau menyelimuti bahagian yang sakit supaya tidak terdedah kepada udara dan gelombang buruk akan mempercepatkan lagi rawatan dan mengurangkan kesan tidakbalas sebelum penyembuhan sepenuhnya.
Penggunaan getaran tenaga Seri Wajah dengan konsep hidroterapi tidak menganggu atau memberi kesan tindakbalas kepada bahagian tubuh yang sihat. Ini bermakna, mereka yang sihat akan menjadi imun kepada getaran yang tidak diperlukan. Rawatan getaran tenaga atau Aroma Therapy Vibration hanya memberi kesan kepada tubuh yang mengalami gangguan ketidakseimbangan tenaga dalaman saja.

Berita Minggu, Ruangan Perspektif Perubatan
MENYEIMBANGKAN TENAGA DALAMAN

Oleh Dr Norhisham Wahab
Tahukah anda tubuh manusia memendam getaran warna? Proses kebocoran warna serta lambang seumpama pelangi juga terjadi pada manusia.
Pengkaji Barat kerap mengaitkan warna dengan personaliti manusia tetapi warna mempunyai hubungan dengan tahap identiti kesihatan seseorang. Kebocoran warna pada tubuh manusia boleh dikesan  menggunakan kamera gelombang jarak jauh. Seseorang yang berpenyakit akan  memperlihatkan warna atau aura yang pudar atau malap, tiada cahaya atau sinar pada warna berkenaan sebaliknya warna mati atau tua serta pasif yang dapat dilihat.
Jika kebocoran warna pada tubuh manusia itu tidak ditutup atau dicuci atau diseimbangkan, maka penyakit yang dihidapi seseorang itu akan berlanjutan atau berulang jika  kaedah rawatan biasa digunakan.
Kelemahan diri anda dapat dikenal pasti sehingga ke puncanya melalui getaran menutup dan menyeimbangkan tenaga ditahap cakra yang tertentu sebagai pertahanan, pencegahan dan penyembuhan.
Warna luaran yang pudar membuktikan ketidakseimbangan tenaga dalaman yang bocor. Tenaga dalaman yang sepatutnya memberikan kestabilan pada tubuh terpaksa keluar disebabkan perubahan kimia yang bergetar secara tidak terkawal.
Ketidakseimbangan inilah yang akan membenarkan tekanan gelombang rendah menyerap masuk atau satu daya tarikan dan dari situ bermulanya gangguan kerohanian dan keadaan ini akan menjadi punca penyakit jika dibiarkan berlarutan.
Hakikat air, warna tubuh dan pendekatan saintifik 
Terapi getaran warna (CVT) mengenal pasti tujuh warna dan kedudukan warna itu didalam tubuh manusia.
Meletakkan kedudukan warna itu ditempatnya yang khas. Inilah hakikat hak tubuh anda dan jika hak tubuh itu dicerobohi maka berlakulah ketidakseimbangan atau penyakit. Contohnya, jika kedudukan paru-paru yang panas bertukar menjadi sejuk, seseorang itu akan menghidap penyakit seperti asma atau lelah. Kedudukan jantung yang sepatutnya sejuk bertukar menjadi panas boleh menyebabkan penyakit seperti lemah jantung, tekanan darah dan panas baran.
Lazimnya, peraturan hak tubuh dicerobohi olih proses pemakanan yang tidak sihat. Pemakanan yang berlebihan boleh mengakibatkan kebocoran tenaga dalaman. Air adalah penawar kepada segala penyakit dalam tubuh manusia dan apabila kandungan hidrogen iaitu unsur air berkurangan, tekanan haba di paru-paru yang mengawal pernafasan bertukar menjadi gangguan sejuk dan ini akan mengurangkan haba dan oksigen dalam proses pembakaran untuk menghasilkan tenaga.
Dalam keadaan ini, bahagian pernafasan mengalami pengewapan sehingga keluarnya karbon dioksida dan dalam keadaan yang sama, paru-paru gagal membekalkan oksigen ke dalam darah kerana ia sejuk. Kerana itu juga jantung yang bertanggungjawab sebagai sistem penyejuk menjadi panas dan bermakna ketetapan dan peraturan hakikat hak tubuh dicerobohi dan berlakulah penyakit.
Formula Seri Wajah (Terapi getaran aroma) daripada pati bunga-bungaan 1,00l kegunaan dicipta dan dihasilkan untuk memerangkap tambahan daya tenaga frekuensi tinggi yang dapat meneutralkan gelombang rendah di persekitaran tubuh iaitu sinar-x pancaran gamma, alfa dan beta.
Tenaga yang terkandung dalam Seri Wajah akan menyerap ke dalam pelbagai organ deria sebagai reseptor untuk menghantar pesanan atau maklumat ke kelenjar pineal di otak dan seterusnya akan bertindak sebagai prisma atau berlian bercahaya yang memecahkan getaran itu kepada pelbagai warna pelangi dengan frekuensi berbeza.
Zat tenaga cahaya matahari yang terperangkap ke dalam bentuk getaran warna di dalam tumbuh-tumbuhan diganti dan dipancarkan tenaga melalui Seri Wajah dan boleh digunakan untuk 1,001 kegunaan secara mandian atau pada luaran.
Tenaga akan beredar di persekitaran tubuh sebagai pengimbang aliran tenaga (aura) menerusi bulu roma melalui pelbagai sistem deria seperti bulu mata pada deria penglihatan, pendengaran (bulu telinga) dan bulu hidung pada deria pernafasan.
Jika pengimbang tenaga Seri Wajah ini diambil melalui reseptor bulu roma maka pineal akan menganalisis untuk menerima dan menghubungkan semula bahagian sasaran yang tidak seimbang.
Bahagian yang lemah boleh diuji dibahagian titik akupuntur dengan alat penguji keseimbangan tenaga rintangan elektrik. Ujian ini mampu memberikan tahap keseimbangan seseorang dengan serta merta.

CVT SINGKAP RAHSIA PENYAKIT

Oleh Dr Norhisham Wahab
Setiap penyakit ada penawarnya kerana ia ketentuan Ilahi manakala manusia pula perlu mengkaji dan memahami ketetapan dan peraturan-Nya untuk menyingkap setiap rahsia. Percayakah anda ubat atau penawar sudah ada atau wujud dalam tubuh anda sendiri.
Rahsia penawar sesuatu penyakit itu berpunca daripada apa yang dilihat, dengar, fikir dan rasa iaitu melalui perbuatan mahu pun amalan. Itulah racun dan itulah juga penawarnya.
Penemuan saintis dalam pelbagai bidang sebenarnya diasaskan saintis Islam pada zaman kegemilangan Islam lagi. Penemuan dalam bidang perubatan seperti fizik, kimia, biologi dan matematik diperkemaskan olih saintis Barat sehingga mampu mencipta perubatan canggih ketika ini.
Bagaimanapun, penemuan itu hanya membabitkan pengaruh luaran walhal sesuatu perubatan itu menjadi lengkap apabila ia membabitkan kedua-dua pengaruh luaran dan dalaman.
Saya temui teknologi rawatan terbaru dan pertama di dunia, sebagai rawatan pelengkap terhadap perubatan moden yang sedia ada. Kajian asas secara perubatan terapi getaran warna (CVT) ini membongkar pelbagai rahsia ketetapan dan peraturan hukum alam. Ketetapan dan peraturan ini berkait rapat dengan unsur kejadian (hakikat) angin, api, air dan tanah yang bermula dari cakerawala sehingga ke bawah (bumi) dan kejadian manusia.
Dari istilah sains kimia keempat-empat unsur itu dikenali sebagai nitrogen, oksigen, hidrogen dan karbon manakala dari istilah fiziks dikenali sebagai cahaya, haba, kimia dan magnet. CVT mengkaji keempat-empat unsur tadi mengenai kedudukannya daripada cakerawala sehingga ke bumi dari perspektif kimia dan fizik yang tiada batasannya.
Segalanya dicipta oleh Pencipta alam ini dengan nilai susunan yang sangat halus lagi unik dan sukar untuk difahami oleh akal logik manusia kerana setiap suatu ciptaan itu mempunyai pengertian tersendiri. Ciptaan Allah ini disusuli dengan ketetapan dan peraturanNya. Jika berlaku sesuatu pencerobohan maka berlaku juga iktibarnya iaitu bencana atau penyakit sama ada kepada alam mahu pun kepada manusia.
Terlalu banyak berfikir tetapi masih juga berakhir dengan kekeliruan sebab penggunaan tenaga yang melebihi had yang menyebabkan organ dalam tubuh tidak lagi dapat menjalankan fungsinya untuk memproses zat makanan. Akibatnya makanan yang gagal diproses dengan sempurna menjadi racun yang akan membuatkan anda bertambah risau.
Rahsia mandian pati bunga Seri Wajah
Dari sudut konsep dan prinsipnya terdapat hubungan berikut di antara alam dan manusia. Alam adalah pengaruh luaran dan manusia itu sendiri adalah pengaruh dalaman manakala yang memegang kunci pengimbang ialah deria atau pancaindera. Derialah yang menjadi penganalisis maklumat tenaga yang masuk dan keluar daripada tubuh.
Deria ialah pengimbang yang cekap, terutamanya bulu roma. Kecekapan deria ini sebagai reseptor boleh dipastikan jika bulu roma atau kulit kita selalu basah dan tidak terdedah kepada udara kotor atau cahaya matahari yang keterlaluan. Dengan mengambil wuduk lima kali sehari sudah cukup untuk membuktikan Islam itu amat saintifik bagi menghormati rahsia keajaiban air.
Seri Wajah mengandungi pati bunga yang ditambah dengan getaran tenaga gelombang tinggi. Kita tidak perlu memilih dan memetik bunga untuk tujuan mandi bunga kerana masyarakat kita tidak diajar mengenali jenis bunga yang menjadi penawar atau pun sebaliknya. Tambahan pula, waktu dan cara memetik bunga juga perlu diketahui jika tidak getaran bunga itu berpindah bentuk dan tidak asli lagi. Umpamanya, kelopak bunga yang ganjil dengan warna penyakit, perlu disesuaikan untuk tidak mencernakan warna aura persekitaran tubuh yang sudah stabil. Kesilapan dalam penggunaan jenis dan warna bunga boleh membawa mudarat yang amat merugikan.
Penggunaan Seri Wajah yang konsisten mampu melegakan pelbagai masalah spiritual, emosi dan mental. Gelombang frekuensi tinggi yang amat laju yang terdapat dalam esen Seri Wajah ini membolehkan ia menstabil dan menjalankan fungsi organ dalaman ke tahap asal. Rasionalnya ialah penyakit kronik yang membabitkan kegagalan fungsi organ dapat dibina semula walaupun ia mengalami kerosakan tisu seperti kanser. Mandian dengan Seri Wajah pula akan menjana semula isyarat atau komunikasi tubuh secara dua hala iaitu perhubungan sistem endokrin dan sistem saraf.
Tahukah anda tubuh manusia juga memendam getaran dan tenaga warna? Untuk mengetahuinya, ikuti sambungan bahagian ini minggu depan.

Majalah RIAS - Ruangan Kecantikan
COLOUR VIBRATION THERAPY: Rawatan Alternatif 2000

Oleh: Azimah Omar
Masih ingat lagi akan petua orang tua-tua apabila seseorang itu menghidap beguk di leher? Biasanya bahagian bengkak di leher akan di sapu nila (sejenis bahan pewarna kebiruan diguna untuk memutihkan kemeja putih) dan dua tiga hari kemudian bengkak tersebut akan hilang. Ramai mengaku bahawa nila sebagai ubat alternatif lebih berkesan, murah dan mudah daripada antibiotik dalam mengatasi masalah beguk ini.
Apa sebenarnya kehebatan nila dalam penyembuhan penyakit tersebut? Mungkinkah wujud perkaitan rapat antara warna dan tubuh anda?
Menurut Dr. Norhisham Wahab pensyarah kinesiologi gunaan, hal ini boleh dijelaskan menerusi pendekatan Terapi Getaran Warna atau Colour Vibration Therapy. "Warna memainkan peranan penting dalam menyembuh, memberi tenaga dan menyeimbangkan tenaga pada tahap-tahap tubuh yang berbeza. Setiap elemen kimia dan benda-benda hidup di dunia ini mempunyai ciri-ciri rajah tenaga warnanya tersendiri. Ini termasuk tubuh badan anda dimana bahagian kepala dinaungi warna-warna lembayung di mana putih diibaratkan kunci mahkota kepada segala warna," terang Dr. Norhisham.
Dr. Norhisham juga merupakan seorang saintis, pakar kinesiologi serta pengasas perubatan Terapi Getaran Warna (Colour Vibration Therapy) yang pertama di dunia. Beliau merupakan lulusan Open International University, Jerman. (Kinesiologi digunakan dalam bidang perubatan tradisional sebagai satu kaedah yang sangat berkesan dalam mengenal pasti dan membetulkan tekanan serta ketidakseimbangan dalam badan.Ini dilakukan menerusi ujian otot bio-maklum balas atau muscle testing bio-feedback).
Kinesiologi diguna secara meluas di luar negara. "Pengamal kinesiologi tidak perlu bertanya pada pesakit mengenai penyakitnya, hanya dengan mengenal pasti punca melalui simptom yang dialami pesakit. Sebenarnya perkataan penyakit itu sendiri tanpa disedari boleh melemahkan sistem imunisasi seorang pesakit dan menyukarkan penyembuhan," kata Dr. Norhisham.
Seterusnya Dr. Norhisham berkata bahagian leher diliputi warna kebiru-biruan yang menjadi kawalan sistem immune tubuh anda dari serangan virus. Dan warna ini akan terganggu apabila seseorang itu menghidap penyakit seperti beguk maka, nila digunakan bagi mengembalikan warna biru yang terganggu di bahagian ini, jelas Dr. Norhisham. Warna hijau segar meliputi dari bahagian dada hingga pangkal perut yang mengawal perasaan, sementara warna kuning meliputi bahagian perut. Bahagian pinggul pula dilingkari warna merah.
Sambungnya lagi, warna merah lebih sesuai dipakai pada bahagian pinggang ke bawah dan bukan sebaliknya. Begitu juga dengan pemakaian inai di jari dan kadangkala di tapak tangan atau kaki pengantin dikatakan boleh merangsang getaran hormon kesuburan lelaki dan wanita.
Warna merah sering dikaitkan dengan warna penyakit kerana itulah orang tua-tua menyuruh kita masuk ke dalam rumah ketika menjelang malam (maghrib) kerana langit ketika itu berwarna kemerah-merahan atau warna amaran. Jika begitu, mesej apakah yang ingin anda sampaikan apabila memakai blaus merah?
Terapi Getaran Warna: Merawat dan Penyeri Wajah
Terapi Getaran Warna atau Colour Vibration Therapy dikatakan kaedah rawatan kesihatan dan kecantikan yang pertama diperkenalkan di negara ini. Ia boleh dianggap sebagai kaedah rawatan terkini alaf 2000 kerana ia berkesan, murah dan tiada kesan sampingan serta boleh mengubat pelbagai penyakit termasuk barah dan ketagihan. Terapi ini amat terkenal di negara-negara Barat yang maju malah, Dr. Norhisham pernah cuba memperkenalkan barangan seumpamanya buatan England disini. Namun usaha ini tidak berkesan apabila beliau menyedari bahawa rumusan yang digunakan tidak sesuai dengan geografi negara ini.
Hari ini, Dr. Norhisham telah menghasilkan rumusan Terapi Getaran Warna dengan memerangkap tenaga getaran tumbuh-tumbuhan tempatan menerusi teknologi canggih dimakmal German Malaysian Scientific Ideas (GMSI), Kuala Lumpur. Himpunan barangan rawatan Terapi terdiri daripada 20 botol butir gula tebu dengan rumusan getaran warna pelbagai tahap untuk bahagian anggota tubuh tertentu, sebotol minyak aromaterapi dan sebotol kecil pencuci wajah.
Butir-butir gula tebu ini mengandungi getaran tenaga warna pelbagai tahap yang diperangkap secara saintifik bagi merawat dan menyeimbangkan tenaga dalam tubuh yang terjejas akibat sesuatu penyakit. Anda hanya perlu kemam gula tebu diatas mengikut arahan pengamal terapi secara tetap dan penyembuhan bergantung kepada tahap penyakit anda. Mudah bukan?
Getaran Tenaga dan Warna
Dunia di antara dua cahaya atau sempadan warna sebenarnya diukur dalam Islam sebagai peralihan waktu sembahyang. Waktu-waktu peralihan ini adalah permulaan cahaya-cahaya baru dengan warna mulai terbentuk. Penyembuhan atau penyakit paling aktif berlaku dalam tempoh ini, contoh subuh dan menjelang malam. Maka warna adalah kuasa rawatan yang amat berkesan kerana tubuh anda diselubungi dan dipenuhi dengan tahap-tahap meridian kuasa warna pelangi yang paling menakjubkan.
Jika anda mengalami gangguan tiroid, waktu paling berkesan untuk kemam gula tebu ialah antara 6.00 hingga 7.30 pagi di mana langit berwarna kebiru-biruan, warna bahagian kerongkong. Sambung Dr. Norhisham, "Setiap orang mempunyai tahap getaran tenaga yang tersendiri, sama ada tinggi atau rendah. Setiap orang juga dapat mengawal tahap getarannya bagi menyamai tenaga orang yang sedang bercakap dengannya agar perbualan berjalan lancar. Pemikiran positif pula memberi tahap tenaga getaran yang tinggi, begitu juga sebaliknya".
Sementara penyakit merupakan tenaga getaran yang rendah. Untuk mengembalikan tahap getaran yang tinggi, anda perlu ceria, bersyukur dan yakin dengan kehidupan. Kini anda pasti faham kenapa tukang andam sering menyuruh pengantin supaya mengunyah sirih ketika bersanding bagi mengatasi perasaan gemuruh, degupan jantung yang kencang! (Bahagian jantung dinaungi warna hijau).
Tumbuhan dan Tubuh Anda
Kepesatan hidup moden membuatkan kehidupan hari ini serba sukar, menyebabkan ramai yang dilanda tekanan perasaan atau ketidakharmonian perasaan. Setiap satu bentuk ketidakharmonian akan mengundang satu penyakit tetapi tidak kepada tumbuhan. Tumbuhan walaupun dicemari tetap dapat menyesuaikan diri dengan alam sekitar untuk terus hidup dengan penuh bertenaga.
Maka tidak hairanlah jika tumbuhan diperlukan untuk menstabilkan ketidakharmonian dalaman yang anda alami. Sumber tenaga wajib dicari dan dimanafaatkan sebagai pengganti kepada tenaga yang telah bersatu didalam tenaga tumbuh-tumbuhan.Cahaya dan warna merupakan nadi kehidupan, tanpa cahaya, kehidupan tidak dapat diteruskan. Tenaga daripada cahaya yang disimpan oleh tumbuh-tumbuhan akhirnya diguna sebagai makanan oleh manusia untuk hidup. Adalah dipercayai frekuensi warna sel tumbuhan dinilai sama dengan frekuensi warna sel tubuh anda. Sebab itulah warna memainkan peranan amat dalam menyeimbangkan sel untuk penyembuhan penyakit.
Pelbagai bencana dan pencemaran alam memusnahkan tumbuh-tumbuhan namun bagai ada suatu kuasa yang penuh bertenaga, ia terus hidup. Ini ialah cara semulajadi serta merupakan kekuatan tumbuh-tumbuhan. Maka anda boleh memanfaatkan tumbuhan sebagai penyelesai bagi kekurangan imuniti yang menjadi punca penyakit kepada seseorang.
Contoh, bunga-bunga kecil yang tumbuh meliar di kawasan pergunungan atau tanah tinggi mempunyai getaran tenaga yang amat kuat dan sesuai untuk mengembalikan tahap kerohanian seseorang ke tahap normal. Namun, getaran tenaga yang dapat diperangkap ini hanya sesuai dan berkesan dengan mereka yang tinggal di kawasan tersebut. Ini bermakna sumber rawatan kecantikan dari pergunungan Swiss tidak mungkin sesuai dengan penduduk Malaysia.
Terapi Getaran Warna
Getaran tenaga ditentukan oleh warna sebagai ukuran ketetapan bagi keperluan tenaga yang harus diganti semula. Misalnya, jika organ hati anda rosak atau dijangkiti kuman atau dibebani toksin bermakna frekuensi getaran warna sel organ tersebut telah tidak seimbang. Maka getaran warna dengan frekuensi yang tepat sebagai penstabil diperlukan serta-merta bagi membuang bahan asing yang tidak sepatutnya berada disitu.
Getaran ini ibarat rangka atau sistem yang akan merawat sel yang berada pada paras tenaga yang terlalu tinggi atau terlalu rendah. Rumusan Terapi Getaran Warna membentuk keseimbangan secara serta-merta pada bahagian-bahagian tubuh yang sakit (atau tidak seimbang) pada setiap tahap tubuh.
Semua unsur kimia dengan struktur atom yang longgar bergetar pada frekuensi yang tidak tetap. Apabila pengimbang tenaga Terapi Getaran Warna diguna menerusi penerimanya (kulit) maka pineal (otak) anda mula menganalisis untuk menerima dan menghubungkan semula ke bahagian sasaran yang tidak seimbang. Bahagian tubuh yang lemah boleh diuji di bahagian titik akupuntur dengan alat penguji pengimbang tenaga rintangan elektrik. Hasil ujian akupuntur menunjukkan keseimbangan serta-merta pada bahagian terjejas.
Bagi memastikan anda sentiasa berada dalam getaran tenaga yang tinggi, anda perlu tenang dan yakin dengan diri anda. Keresahan perlu dielakkan kerana ia menimbulkan keracunan atau bebanan toksin kepada blok dalam sistem limpa dan sistem saraf. Begitu juga dengan segala perasaan negatif atau perbuatan buruk seperti penyesalan, dengki khianat dan buruk sangka boleh mencetus satu tenaga asing dalam badan seterusnya, mendatangkan penyakit kepada anda.
Berilham Dengan Mandi Bunga
Berilhamkan amalan mandi bunga, Dr. Norhisham kini berjaya mengadaptasikan amalan berkenaan kepada bentuk yang lebih moden dan sesuai untuk semua peringkat manusia.
"Saya cari formula kaedah mandi bunga dengan cara lebih moden dan saya berhasil. Inilah buktinya" kata Dr. Norhisham sambil menunjukkan Pati Bunga Aomaterapi  yang dihasilkan.
"Aromaterapi yang dibuat dari pati bunga dan pati tumbuhan bertindak sama seperti perawatan mandi bunga yang dilakukan oleh para dukun dan bomoh". Cara Aromaterapi lebih moden, mudah, cepat dan murah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan