Siapa yang banyak bicara, banyak pula salahnya; siapa yang banyak salah, hilanglah harga dirinya; siapa yang hilang harga dirinya, bererti dia tidak warak; sedangkan orang yang tidak warak itu bererti hatinya mati. (Saidina Ali Abu Talib)
Isnin, 2 Mei 2011
Kepada Allah alam bersujud (1)
Seorang muslim adalah seorang pemilik sejumlah kepercayaan dan keyakinan yang tidak mungkin berubah. Dengan erti, jika berlaku perubahan pada perkara tersebut, maka dirinya secara sendirinya akan segera bertukar menjadi seorang bukan muslim atau disebut kafir. Kafir bererti menutup, iaitu menutup kebenaran yang nyata. Kebenaran yang nyata adalah sejumlah kepercayaan dan keyakinan yang tidak boleh berubah tadi.
Kepercayaan dan keyakinan tadi disebut dalam istilah agama sebagai akidah atau iman. Justeru seseorang itu hanya dikira muslim apabila dia berakidah atau beriman dengan seikat keyakinan yang pasti yang diajar oleh ugama Islam. Dia dengan itu, dalam beberapa perkara tertentu dan terpilih hendaklah tunduk kepada kehendak ajaran agamanya secara terpaksa dan tanpa pilihan.
Adakah apabila dia terpaksa menerima dan patuh, maka dia telah membantutkan penggunaan akalnya yang setiap masa digunakan untuk memandu kehidupannya itu? Atau adakah Islam pada kemuncak ajarannya telah memusuhi akal dengan mendorong dan memaksa penganutnya mempercayai sesuatu secara membabi buta?
Tentu sekali tidak. Akal dan ugama adalah daripada Allah. Kedua-duanya tercipta untuk saling memandu manusia menempuh kehidupan di dunia ini. Bagaimana boleh digambarkan sebuah syarikat kenderaan mencipta stering dan tayar sebuah kereta yang saling bertentangan arah tanpa keselarasan? Begitulah Allah, kehendakNya adalah agar seorang hambaNya memiliki seikat kepercayaan dan iman yang diyakini oleh dirinya sendiri melalui akainya walaupun pada awalnya ia adalah semata-mata ajaran wahyu yang didatangkan langsung oleh Allah melalui para rasulNya alaihimussalam.
Satu soalan sering dibangkitkan, tidakkah di dalam ugama Islam wujud kepercayaan yang di luar kuasa akal untuk membenarkannya? Bagaimana diakali Adam itu dicipta di syurga? Bagaimana ditaakulkan wujudnya kehidupan sesudah mati, bahkan di padang mahsyar?Di mana logiknya jutaan manusia berebut-rebut dan berhimpit-himpit mengelilingi kaabah sehingga berlaku kecederaan dan kematian semata-mata demi mengabdikan diri pada tuhan yang tak pun dilihat?
Ya, sekali pandang ianya bagaikan satu persoalan besar yang mencetuskan keraguan terhadap wibawa agama sebagai ajaran yang mendakwa menjunjung kelebihan akal. Ada beberapa jawaban yang diberikan, tetapi mari kita tumpukan kepada ibu segala jawaban dan ibu segala ketenangan. Memperolehi pembukaan ini akan menjadikan seorang muslim begitu mudah menerima segala jenis kepercayaan atau akidah yang diajar oleh ugamanya.
Ibu akidah dan keyakinan adalah wujudnya Allah yang esa. Kerana itu kita biasa mendengar ilmu akidah disebut juga sebagai ilmu tauhid atau ilmu keesaan Allah. Ia ilmu yang mengajar kita bahawa Allahlah tuhan yang memiliki segala kesempurnaan sehingga mustahil ia memiliki sebarang kecacatan. Dialah tuhan dan tiada tuhan selainNya. Dialah satu-satunya kebenaran dan haq yang mutlak, manakala selainNya hanyalah merupakan kewujudan yang bergantung kepada kewujudanNya jua. Wujudnya adalah wajib kerana tanpaNya tiadalah segala kewujudan di alam ini. Justeru Dialah penguasa yang menguasai isi alam ini.
Masuk akalkah ini? Sekali pandang, ya. Tetapi inilah induk akidah Islam. Jika akidah ini ditolak akal secara benar dan sesudah puas jenuh dan lelah akal berkerja, maka barang pasti Islam adalah ugama yang betul-betul memusuhi akal dan semestinya, ia adalah seburuk-buruk ugama yang dianuti manusia.
Oleh kerana tanda soalnya besar, mari kita melihat bagaimana Allah menunjuki kita dengan semudah-mudah jalan untuk menuju keyakinan. Seperti yang dipertegaskan di dalam bicara terdahulu, jika pasti kehidupan ini diciptakan sebagai medan ujian untuk manusia mengenaliNya, adalah mustahil digambarkan kesusahan dan kesulitan yang disengajakan oleh Allah untuk para hambaNya yang berusaha untuk menemuiNya.
Bagaimana digambarkan seorang guru yang ingin menguji dan melihat tahap kecerdikan pelajarnya akan menyediakan soalan-soalan yang begitu sukar dan tak terjawab oleh para pelajarnya yang telah pun berusaha memerah otak. Itu adalah ujian yang sia-sia. Maka, maha suci Allah daripada perbuatan yang sia-sia yang merosakkan matlamat penciptaan manusia.
Allah menunjuki jawaban. Dijadikan alam raya ini sebagai jawaban bagi orang-orang yang berfikir. Tidakkah orang-orang yang berfikirlah yang telah menundukkan dan mengeksploitasi segala kemudahan yang tercipta di alam ini? Maksudnya, manusia yang malas dan dungu tidak akan memperolehi apa-apa daripada isi alam ini. Begitulah saat mengenal Allah, ia adalah hak insan yang berfikir.
Sekarang mari kita melihat secara sepintas bagaimana alam berkerja untuk memperkenalkan Allah kepada manusia. Dengan erti, saat kita melihat alam sedang tunduk kepada beberapa hukum yang tetap, anda hakikatnya sedang menyaksikannya sedang bersujud kepada satu kekuasaan yang ia tidak mampu lari daripadanya. Di situ Allah menjelmakan kewujudanNya dan manusia akan segera terduduk untuk turut bersama bersujud kepadaNya. Perhatikan fenomena-fenomena alam yang nyata seperti berikut:
Pertama, fenomena barunya penciptaan alam ini. Sesuatu yang bersifat baru adalah diciptakan. Sesuatu yang diciptakan, maka ia adalah makhluk. Maka alam ini adalah makhluk kepada sang pencipta yang menciptakannya.
Alam ini adalah baru kerana ia telah wujud daripada tiada. Ia tidak wujud sejak azali tanpa saat tiada. Kemudian, hadirnya alam daripada tiada kepada ada semestinya memerlukan sebab yang memulakannya. Sebab yang memulakan kewujudan itu hendaklah sebab yang paling awal agar tidak berlaku ulangan dan pusingan yang menyebabkan kita gagal menemui persoalan asal iaitu siapakah sebenarnya yang memulakan ada daripada tiada.
Zat yang menjadi sebab ini yang telah ada secara azali tanpa bermula daripada tiada mestilah diketahui kewujudannya, kerana samada dialah pemula yang memulakan alam ini, maka diketahuilah jawaban hakiki kepada persoalan besar yang meruntuni fikiran manusia iaitu siapakah pencipta alam ini? Atau, jika kita enggan menerima kewujudan zat pertama dan azali ini, maka kita terpaksa menerima keputusan bahawa alam ini wujud pertamanya, secara waham dan khayalan atau pun kedua, ia telah wujud secara kebetulan dan sendiri-sendiri atau pun ketiga, ia tercipta sejak azali lagi dan tidak pernah tidak ada.
Jika alam ini dikatakan wujud dalam khayalan, maka ia tidak mungkin diterima sesiapa pun kerana ia hanya sekadar memerlukan pembuktian panca indera. Wujud alam ini adalah dirasai, dilihat dan dikesan secara pasti dan bukan khayalan.
Jika pula alam ini dikatakan terjadi dengan sendirinya daripada tiada dan kosong, maka ia juga terlalu dangkal untuk diterima akal. Tiada satu pun kejadian di alam ini kecuali ada sebab yang menyebabkan terjadinya kejadian itu. Bagaimana pula tiba-tiba boleh diterima logika bahawa alam ini terjadi sendiri? Semasa akal masih meraba-raba, manusia dahulu percaya angin datang sendiri, kilat terjadi sendiri dan banyak kejadian alam dilihat terjadi sendiri. Selepas pembongkaran sains, ternyata segala kejadian telah berlaku dengan sebab-sebab awal yang mencetuskannya.
Atau jika alam ini dikatakan wujud sejak azali di mana tiada pencipta yang mencetuskan dan memulakan penciptaannya, maka ia adalah pandangan dan teori yang menghampiri kepada persoalan yang dibincangkan, iaitu wujud satu kuasa azali yang mencipta dan tidak pun diciptakan.
Di sini samada kita sandarkan kuasa itu kepada alam itu sendiri atau pun kita sandarkannya kepada Allah, tuhan yang menciptakan alam. Bolehkah alam ini telah secara azali wujud dengan kuasa kesemulajadiannya?
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan