Semalam, saya mendapat berita, seorang petugas Gerak UPU PAS Kedah, meninggal. Kelmarin mengambil peserta di Kompleks PAS Kedah, esoknya sudah pergi dijemput Ilahi. Semoga Allah berkati usaha, perjuangannya dan pengorbanannya. Al-Fatihah untuk Pak Lang Yadim Kuala Nerang.
Terbaru, kemalangan ngeri di Cameron Higland, dekat Kampung Kerawai, KM9.3 laluan Simpang Pulai-Cameron Highlands. Difahamkan 27 orang telah terbunuh. Begitu mudah nyawa diambil.
Nyawa Itu Fana, Mati Itu Pasti
Kehidupan kita di dunia ini hanyalah sementara. Seumpama tempat persinggahan sebelum berpindah ke alam yang kekal abadi. Selama mana seseorang itu hidup di dunia, pengakhirannya adalah mati. Cuba pejamkan mata anda dan fikirkan seketika; Apa itu kematian?
Fikir sejenak.
Lahir-merengek-meraung-masuk tadika-masuk sekolah rendah-UPSR-masuk sekolah menengah-PMR-SPM-Universiti/Kolej/Politeknik/Bekerja-Kahwin-Ada anak-Ada cucu-Mati
Bagi rata-rata mahasiswa, saya fikir ini adalah rutin hariannya
Bangun pagi-pergi kampus-masuk kuliah-pergi kafe-balik bilik-buka Facebook-atas katil (tidur)Bagi yang memberi tambah nilai pada rutinnya (solat, melakukan kerja-kerja Islam dan ibadah-ibadah lain), tahniah saya ucapkan
Adakah sekadar itu matlamat hidup kita? Tagline "Hidup muda hanya sekali" perlu dibuang dari minda insan yang memegang kalimah Lailahaillah. Hidup muda memang hanya sekali dan mati pun hanya datang menjemput sekali.
Mungkin ada yang berkata,
“Alah…biasa la bro, lumrah alam. Hidup, hidup, pastu mati..Ni lah masa nak enjoy kawan oi, kalau dah mati, macam mana nak enjoy? Kubur lain-lain bro…”Kubur memang lain tetapi Allah itu Satu. Dia yang menghukum, Dia yang mengadili dan Dia yang menentukan panjang pendek tempoh kehidupan kita. Firman Allah
“Dari bumilah Kami ciptakan kamu, dan ke dalamnya Kami akan mengembalikan kamu dan daripadanya pula Kami akan mengeluarkan kamu sekali lagi”.(Surah Thaha ayat 55)
Sabda Rasulullah SAW
"Hendaklah kamu banyak-banyak mengingati pemutus kematian (mati).”
Hadis riwayat Al-Imam Ibnu MajahKematian adalah suatu yang menakutkan bagi orang yang masih tidak mahu hilang kemewahan, hiburan dan keseronokan dunia. Apatah lagi yang tidak punya persiapan dengan amal ibadat yang hidup melawan arus kebenaran.
Tetapi tidak bagi orang yang beriman dan beramal soleh, yang mana mereka bersedia jika dijemput Allah SWT pada bila-bila masa dengan harapan memperolehi husnul khatimah iaitu mati dalam kesudahan yang baik atau mati dalam iman. Keadaan inilah yang diimpikan oleh setiap orang mukmin.
Hikikikomori
Hikikomori (ひきこもり or 引き籠もり, adalah satu istilah di dalam Bahasa Jepun yang memberi maksud fenomena manusia yang memilih untuk menyendiri serta menarik diri daripada kehidupan bermasyarakat. Mereka mengasingkan diri di tahap yang ekstrem disebabkan oleh pelbagai faktor.
Golongan Hikikomori di Jepun, tidak meninggalkan rumah mereka untuk jangka masa yang panjang. 'Hibernasi' mereka berlangsung selama berbulan-bulan, bertahun-tahun malah ada yang mencecah dekad. Itulah penangan games, rangkaian sosial Facebook dan 1001 macam tarikan Internet.
Budaya ini seakan menjangkiti generasi muda Malaysia. Terperap di bilik, tidak bercampur dengan masyarakat. Mereka di dalam dunia mereka yang tersendiri.
Inilah budaya yang meracuni umat Islam kini. Inilah bahaya daripada 'bahagia' hedonisme.Saya tidak fikir golongan ini mempunyai masa untuk berfikir sejenak tentang kematian. Dunia mereka cukup mudah. Sekitar jaring-jaring internet.
Adakah anda begini?
Berubahlah Sementara Masa Masih Ada
Saya mengajak diri saya dan rakan pembaca untuk menuju kepada hijrah. Hijrah diri ke arah yang lebih baik. Masa masih bersama kita sehingga kini. Jangan sia-siakan setiap masa anda.
Anda perlukan Islam untuk berubah tetapi Islam tidak memerlukan anda untuk membawa perubahan kepadanya sekiranya anda tidak mahu
Wahai orang-orang yang beriman! Sesiapa di antara kamu berpaling tadah dari ugamanya (jadi murtad), maka Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Ia kasihkan mereka dan mereka juga kasihkan Dia; mereka pula bersifat lemah-lembut terhadap orang-orang yang beriman dan berlaku tegas gagah terhadap orang-orang kafir, mereka berjuang dengan bersungguh-sungguh pada jalan Allah, dan mereka tidak takut kepada celaan orang yang mencela. Yang demikian itu adalah limpah kurnia Allah yang diberikanNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya; kerana Allah Maha Luas limpah kurniaNya, lagi Meliputi PengetahuanNya.(Surah Al-Maaidah ayat 54)
Kesimpulan
Mari sama-sama kita berfikir. Apa matlamat kita di muka bumi? Apakah tugas kita selaku khalifahNya?
Moga anda sempat berbakti untuk Islam. Senyumlah selagi anda boleh senyum. Ketawalah selagi anda boleh ketawa. Menangislah selagi anda boleh menangis. Ingat, Izrail pasti akan menjemput.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan