Selasa, 26 April 2011

5 perkara yang merosakkan hati




Hati merupakan punca segala tindakan. Jika baik ia, maka baiklah perbuatan. Jika rosak ia, maka rosaklah perbuatan. Dengan hati, insan mengenal cinta. Dengan hati, insan merasa duka. 


Begitulah hebatnya pengaruh hati dalam kehidupan manusia. Ibnu Qayyim dalam Mufsidaatul Qalbi telah menyebutkan 5 perkara sebagai perosak hati.


1. Pergaulan Tanpa Tapisan
Tidak salah untuk bergaul dan menikmati kehidupan sosial. Sekurang-kurangnya ia menghilangkan stress dan menambah teman kita. Apa yang tidak dibenarkan adalah pergaulan yang terlalu bebas sehingga tiada tapisan dalam memilih teman.


Teman yang negatif akan menggelapkan hati, mempengaruhi kita kearah yang sebaliknya dan melemahkan kekuatan rohani. Ia seakan cerminan kepada diri kita. Tak percaya? Lihatlah sekeliling kita. Berapa ramai yang terpesong kerana pengaruh rakan. 




Lihat rakan anda yang bercouple. Adakah dengan bercouple dia semakin dekat dengan Allah sedangkan redha Allah itulah matlamat kehidupan kita. Tunjukkan atau kenalkan kepada saya jika ada. Buat yang masih bercouple, mari berfikir sejenak. 


Anda masih tidak berhak mengisikan sesuatu milikNya (hati) dengan wajah-wajah kekasih anda. Tunggulah sehingga sampai masanya. Akan tiba saat yang indah dimana dihalalkan apa yang diharamkan.


Mari kita lihat firman Allah SWT dalam surah al-Furqan ayat 27-29




Dan (ingatkanlah) perihal hari orang-orang yang zalim menggigit kedua-dua tangannya (marahkan dirinya sendiri) sambil berkata: "Alangkah baiknya kalau aku (di dunia dahulu) mengambil jalan yang benar bersama-sama Rasul? "Wahai celakanya aku, alangkah baiknya kalau aku tidak mengambil si dia itu menjadi sahabat karib! "Sesungguhnya dia telah menyesatkan daku dari jalan peringatan (Al-Quran) setelah ia disampaikan kepadaku. Dan adalah Syaitan itu sentiasa mengecewakan manusia (yang menjadikan dia sahabat karibnya)".
Firman Allah dalam Surah az-Zukhruf ayat 67

Pada hari itu sahabat-sahabat karib: setengahnya akan menjadi musuh kepada setengahnya yang lain, kecuali orang-orang yang persahabatannya berdasarkan taqwa (iman dan amal soleh).

Inilah pergaulan yang didasari oleh kesamaan tujuan duniawi. Mereka saling mencintai dan saling membantu jika ada hasil duniawi yang diingini. Jika telah lenyap kepentingan tersebut, maka persahabatan itu akan melahirkan duka dan penyesalan, cinta berubah menjadi saling membenci.


Kerana itu, dalam bergaul, berteman dan bersahabat hendaknya ukuran yang dipakai adalah kebaikan. Lebih tinggi lagi tingkatannya jika persahabatan itu untuk mendapatkan kecintaan dan redha Allah. 


Boleh rujuk artikel saya sebelum ini berkenaan sahabat. Klik di sini.


2. Angan-Angan
Angan-angan kosong boleh diibaratkan sebagai lautan yang tak bertepi. Tidak bertemu dengan daratan. Cuma dimainkan ombak. Kejap dilambung kejap ditenggelamkan.


Ada yang nak jadi cantik, ada yang nak jadi kacak, ada yang nak jadi kaya, ada yang nak jadi superstar. Rumah cantik, kereta besar, isteri lawa, suami bergaya. Macam-macam lagi lah. 1001 'jadian' yang manusia hendak. Tak pernah puas!


Angan-angan yang terbaik adalah angan-angan yang diikuti dengan tindakan dan semestinya bermanfaat kepada diri dan orang sekeliling. Sebagai contoh, angan-angan ataupun impian seputar ilmu, iman dan taqarrub ilallah (mendekatkan diri kepada Allah).


3. Mencari Selain Dari Allah
Ini adalah faktor terbesar yang merosakkan hati. Tidak ada sesuatu yang lebih berbahaya selain dari bergantung harap kepada selain dari Allah. Firman Alllah dalam Surah Maryam ayat 81-82,


Dan mereka yang kafir menyembah benda-benda yang lain dari Allah sebagai tuhan-tuhan, supaya benda-benda yang mereka sembah itu menjadi penolong-penolong yang memberi kemuliaan dan pengaruh kepada mereka. Tidak sekali-kali! Bahkan benda-benda yang mereka pertuhankan itu mengingkari perbuatan mereka menyembahnya, dan akan menjadi musuh yang membawa kehinaan kepada mereka.

Ia tidak hanya tetentu kepada orang kafir semata-mata. Bahkan juga kepada orang Islam yang meletakkan keyakinan terhadap Allah bukan pada tempat yang pertama dalam hatinya.


Agak terkilan bila melihat sahabat yang cukup risau bila dimasukkan ke course yang tidak menjamin kerjaya, kata orang. Agak sedih melihat sesetengah ahli politik yang sanggup berkata, 
" Tak payahlah masuk parti ***, duit pun tak dapat. Cuba kau masuk prti ****, bantuan pun dapat. Cuba bayangkan kalau *** memerintah, confirm melarat dan ditindas kaum kita!"

Siapa yang memberi rezeki kepada kita? Tidak lain tidak bukan hanyalah Allah yang Maha Kaya. Mari bersitghfar jika pernah terdetik di hati kita untuk meragui nikmat dan rezeki yang pasti diberi olehNya untuk hamba-hamba yang terpilih.


4. Makanan 
Ada dua jenis makanan yang merosakkan hati. Pertama, adalah yang qat'ie haram dan yang keduanya adalah makanan yang halal tetapi diambil dengan kadar yang berlebihan.


Makanan yang diambil dengan kadar berlebihan akan menyebabkan kemalasan dan menumpulkan akal. Hindarilah dari mengambil makanan dengan nafsu. Sabda Nabi SAW


 "Tidaklah seorang anak Adam memenuhi bejana yang lebih buruk dari memenuhi perutnya (dengan makanan dan minuman). Cukuplah bagi anak Adam beberapa suap (makanan) yang bisa menegakkan tulang rusuknya. Jika harus dilakukan, maka sepertiga untuk makanannya, sepertiga untuk minumannya dan sepertiga lagi untuk nafasnya."
              (HR. At-Tirmidzi, Ahmad dan Hakim, dishahihkan oleh Al-Albani)

5. Tidur Yang Berlebihan
Tidur yang berlebihan mematikan hati, memenatkan badan, menghabiskan waktu dan menyebabkan kemalasan. 


Masa tidur yang terbaik adalah selepas solat Isyak. Ia memudahkan untuk bangun Qiyamullail dan menyegarkan minda dan diri di awal pagi. Perhatikan rakan-rakan anda yang mengantuk di dalam kelas. Cuba lihat waktu tidur mereka dan anda akan dapati punca mereka mangantuk di dalam kelas
Waktu tidur yang paling bermanfaat iaitu :


1.Tidur ketika perlu tidur.
2. Tidur di awal malam – ini lebih manfaat daripada tidur lewat malam
3. Tidur di pertengahan siang –ini lebih bermanfaat daripada tidur di waktu pagi dan petang. Apatah lagi pada waktu pagi dan petang sangat kurang manfaatnya bahkan lebih banyak bahaya yang ditimbulkan, lebih-lebih lagi tidur di waktu Asar dan awal pagi kecuali jika memang tidak tidur semalaman.


Cuba elakkan tidur selepas solat Subuh. Menurut para salaf, tidur yang terlarang adalah tidur ketika selesai solat subuh hingga matahari terbit. Kerana pada waktu tersebut adalah waktu untuk menuai ghonimah (pahala yang berlimpah). 


Mengisi waktu tersebut adalah keutamaan yang sangat besar, menurut orang-orang soleh. Sehingga apabila mereka melakukan perjalanan semalam suntuk, mereka tidak mahu tidur di waktu tersebut hingga terbit matahari. Mereka melakukan demikian kerana waktu pagi adalah waktu terbukanya pintu rezeki dan datangnya barokah (banyak kebaikan).”
                                                                                          (Madarijus Salikin)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan